
Mahkamah Besar Negara Brunei
Darussalam telah ditubuhkan pada tahun 1963 selepas pembubaran gabungan
Mahkamah Besar Serawak, North Borneo dan Brunei. Semenjak penubuhannya
Bangunan Mahkamah Besar telah ditempatkan di beberapa buah bangunan
termasuk di Kuala Belait. Ianya telah menggunakan sebahagian dari
Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang lama dan akhir sekali bangunan
Lapau Lama.
Bangunan Yang Ada

Dalam tahun 1978 Kerajaan Brunei telah menganjurkan satu peraduan
senibina bagi rekabentuk Bangunan Mahkamah Besar yang baharu.
Ketua Hakim Negara
- Dato Setia Sir Geoffrey Briggs.
Peguam Negara -
Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin bin
Pengiran Haji Abbas.
Pengerusi Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam - Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Digadong Seri
Lela Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman.
Pengarah Kerja Raya
- Dato Paduka Haji Talib Derwish.
Tapak yang dipilih untuk
bangunan ini disempadani di sebelah timur oleh Sungai Kedayan dan di
sebelah utara oleh Jalan Tutong. Pembinaan bangunan ini bermula dalam
bulan Februari 1981 dan siap dalam bulan Mac 1984. Bangunan ini
mempunyai keluasan lantai seluas 96,500 kaki persegi dan dibina dengan
harga sebanyak B$20 juta.
Jabatan Kehakiman
bertanggungjawab ke atas pentadbiran pengadilan melalui Mahkamah
Perantaraan, Mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Majistret
yang bersidang di Mahkamah Bandar Seri Begawan, Kuala Belait, Tutong and
Temburong.
Kesemua Mahkamah-Mahkamah tersebut membicarakan kes-kes jenayah dan sivil,
dengan sebahagian besar kes-kes dihadapkan ke Mahkamah-Mahkamah Majistret
dan hanya kes-kes yang diluar had bidang kuasa mereka didengar di Mahkamah
Perantaraan dan di Mahkamah tinggi. Rayuan-rayuan dari Mahkamah-Mahkamah
Majistret adalah didengar oleh Mahkamah Tinggi dan rayuan dari Mahkamah
Perantaraan dan Mahkamah Tinggi adalah didengar oleh Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan adalah Mahkamah yang tertinggi bagi kes-kes jenayah.
Sementara bagi kes-kes sivil rayuan hanya dibenarkan jika semua pihak
bersetuju untuk terikat dengan sebarang rayuan lanjut kepada Jawatankuasa
Privy counsil di London sebelum rayuan mereka didengar oleh Mahkamah
Rayuan Brunei.
Sebagai tambahan kepada bidang kuasa sivil dan jenayah yang biasa.
Mahkamah Besar juga mengendalikan kes-kes muflis dan penggulungan
syarikat-syarikat. Jabatan Kehakiman juga mengendalikan permohonan
permohonan bagi mendapatkan Surat-surat Kuasa Waris dan Surat-surat Kuasa
Pentadbir harta pusaka orang-orang yang telah meninggal. Fungsi Jabatan
Kehakiman selanjutnya adalah mentadbirkan penerimaan kemasukan peguambela
dan peguamcara yang ingin mengamal undang-undang di dalam Negara Brunei
Darussalam, dibawah peruntukan akta Ikhtisas Peguam, dan mengeluarkan
Surat-Surat akuan Menjalankan amalan Tahunan.
HAKIM-HAKIM
Persetujuan telah dibuat dengan Kerajaan Hong Kong supaya Hakim-Hakim
Mahkamah Besar Hong Kong bertugas sebagai Hakim-hakim Mahkamah Besar
Negara Brunei Darussalam. Lazimnya Hakim-hakim Mahkamah Besar Hong Kong
dilantik sebagai Pesuruhjaya Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam bagi
tempoh selama tiga tahun. Persetujuan dengan Hong Kong yang telah lama
ujud ini telah dengan rasminya berakhir pada tahun 1993. Walaupun
demikian, kita telah meneruskan untuk bergantung kepada khidmat-khidmat
hakim-hakim Hong Kong yang telah bersara untuk memenuhi jawatan-jawatan di
Mahkamah Besar Brunei.
Adalah juga telah
menjadi kebiasaan bagi Ketua Hakim Hong Kong dilantik sebagai Ketua Hakim
Negara Brunei Darussalam. Walaupun demikian, mulai dari 15hb. Mac, 1988
bekas Ketua Hakim Hong Kong Dato Seri Paduka Sir Denys Tudor Emil
Roberts, KCMG., SPMB., apabila bersara sebagai Ketua Hakim Hong Kong terus
menjadi Ketua Hakim Negara Brunei Darussalam. Ketua Hakim Hong Kong Dato
Seri Paduka Sir Yang Ti Liang, KBE., SPMB., telah dilantik pada 24 Mei
1988 sebagai Yang Dipertua Mahkamah Rayuan. Beliau menjawat jawatan Yang
Dipertua Mahkamah Rayuan sehingga 16 Mei 1993. Pada 17 Mei 1993 seorang
bekas hakim Mahkamah Rayuan Hong Kong Dato Kutlu Tekin Fuad, CBE., telah
dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Rayuan..
Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya
Kehakiman Mahkamah Besar adalah dilantik sehingga berumur 65 tahun atau
lebih menurut titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ketua Hakim
Justice Mohamed Saied
(dilantik pada 1 Ogos, 2001)
Yang Dipertua Mahkamah Rayuan
Sir Derek Cons
(dilantik pada 27 Mei , 2003)
Sengguhpun Ketua Hakim mengepalai Jabatan Kehakiman, pentadbiran harian
jabatan ini adalah diketuai oleh Ketua Pendaftar. Ketua Pendaftar adalah
juga dilantik sebagai pegawai Waris, Pegawai Penereima Rasmi dan Majistret.
Sebagai Ketua Pendaftar dia mengendalikan permohonan-permohonan dalam
kamar hal-hal sivil sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sebagai
Pegawai Waris beliau mengeluarkan Surat-surat Kuasa Waris dan Surat-surat
Kuasa pentadbir yang berkaitan dengan perkara-perkara yang tidak
dipertikaikan. Sebagai Pegawai Penerima Rasmi, belaiu mengendalikan
kes-kes muflis dan penggulungan syarikat-syarikat.
Ketua Pendaftar adalah
juga bertanggungjawab keatas pentadbiran kehakiman berhubung kait dengan
kakitangan, pemeliharaan bangunan, perkakas-perkakas pejabat dan
kemudahan-kemudahan, dan lain-lain.
Dalam mengendalikan
pelbagai tugas-tugasnya, Ketua Pendaftar dibantu oleh Pendaftar-pendaftar
dan Ketua Majistret. Bagi tujuan membantu Ketua Pendaftar, pendaftar
Mahkamah Besar, ketua Majistret dan Majistret-majistret lainnya juga
dilantik sebagai Timbalan Pegawai Penerima Rasmi dan timbalan pegawai
Waris. Ketua Majistret dan Majistret kanan juga dilantik sebagai
pendaftar Mahkamah Besar bagi tujuan yang sama.
Ketua Majistret,
Majistret-majistreet dan pendaftar Mahkamah Besar juga dilantik sebagai
pendaftar Perkahwinan pendaftar perkahwinan berkuasa menyempurnakan dan
mendaftarkan perkahwinan-perkahwinan sivil.